
Selamat Hari Raya Aidilfitri. Eid Mubarak. Minal eidil wal fa'iziin wal maqbuliin. Allahu Akbar! Hari kemenangan telah tiba bagi mereka yang telah melalui bulan Ramadhan dengan penuh tawaqqal. Hari kemenangan untuk mereka yang telah memanfaatkan sepenuhnya bulan Ramadhan dengan mensucikan diri dengan amal ibadah. Hari kemenangan untuk mereka yang telah menunaikan ibadah puasa Ramadhan. Hari kemenangan bagi mereka yang dapat membendung nafsu dari membazir wang di bazar Geylang. Selayaknya orang-orang ini bergembira dan bersuka-ria.
Namun begitu, lihatlah di sekeliling kita. Orang-orang yang dimaksudkan di atas ini menyambut kedatangan Syawal dengan serba sederhana saja. Hari Raya disambut dengan seadanya. Dalam istilah kamus mereka, Hari Raya hanya satu hari, iaitu 1 Syawal. 1 Syawal disambut dengan penuh kesyukuran, kesyahduan dan penuh pengertian.
Mereka-mereka yang menyambut Hari Raya bagai nak rak pula, jika kita rewind dan lihat aktiviti-aktiviti mereka sepanjang Ramadhan, kebanyakannya langsung tiada pengertian Ramadhan. Kebanyakan mereka yang sambut raya bagai nak rak, kita dapati di bulan Ramadhan mereka tidak berpuasa. Mereka tidak bertarawih dan mengaji Al-Qur'an. Mereka masih beratur di kaunter 4-D dan betting bolasepak. Mereka makan, minum dan hisap rokok di khalayak ramai tanpa segan-silu akan adab-adab Ramadhan. Mereka inilah yang beraya sakan selama sebulan. Mereka inilah yang menyambut hari 'kemenangan' selama sebulan.
Bagi mereka yang masih juga berjudi di bulan Ramadhan, janganlah susah-susah buat rumah terbuka dan sebagainya. Juadah Raya yang mereka sediakan untuk rumah terbuka, sebahagiannya adalah dari hasil judi yang sememangnya haram. Sekunyah makanan haram atau seteguk minuman haram masuk ke dalam tubuh kita, Allah tak terima ibadah kita selama 40 hari. Kasihankan anak isteri, ahli keluarga dan teman-teman yang disuapkan dengan makanan haram sempena rumah-rumah terbuka seperti ini.
Di bulan Syawal ini digalakkan kita untuk berpuasa selama enam hari, yang dipanggil 'puasa enam'. Tujuannya ialah untuk membendung nafsu kita agar tidak ikut sama berpesta sepanjang bulan Syawal. Semoga kita dapat meneruskan dan meningkatkan amalan-amalan yang kita lakukan di bulan Ramadhan pada bulan-bulan selepas Ramadhan.
Bukan niat saya untuk mengata sesiapa atau menyinggung perasaan mana-mana pihak. Ini sekadar luahan mengenai apa yang saya lihat di sekeliling saya. Kalau ada yang tersinggung, saya minta maaf. Siapa yang makan cili, kalau dia merasa pedas jangan marahkan timun...