Monday, August 14, 2006

Draf cerita rekaan

Waktu kerja adalah waktu yang membosankan. Selepas menghabiskan tugas-tugas rutin, tak ada apa-apa lagi untuk dibuat kecuali menunggu panggilan kecemasan. Kru Alpha (panggilan untuk ambulans) bernasib baik kerana khidmat mereka sentiasa diperlukan. Bagi kru bomba pula, otak boleh mati jika masa senggang tidak dimanfaatkan.
 
Jadi pada hari Sabtu yang lepas, di Bukit Panjang Fire Post, aku telah memaksa diri untuk membuat latihan otak dengan cuba menulis sebuah cerita. Mungkin cerita ini tidak akan ke mana, setakat sebuah latihan saja, seperti puisi 'Kotak Hitam' yang ditulis di Choa Chu kang Fire Post.
 
Bila pulang dari kerja, aku edit cerita ini dan kembangkan sedikit.
 
Inilah hasilnya.....
 
 

 
Habiskan Cerita Itu
karya Nor Herman Maryuti @ MUTIARA
 
 
"Mana dia?"
 
"Kat depan sana."
 
"Tak nampak apa-apa pun..."
 
"Cuba suluh."
 
Aku mengarahkan lampu suluhku ke arah yang ditunjukkan Amir. Yang ada hanyalah sebuah pohon kering yang hampir botak. Tiada apa-apa lagi yang kulihat di sana.
 
"Mir, mana ada apa-apa? Sudahlah, kita balik sajalah. Aku mengantuk ni."
 
"Eh, betullah Man!" kata Amir bersungguh-sungguh. "Aku nampak dia berdiri kat bawah pokok tu! Aku tak bedeklah!"
 
"Sudahlah Mir. Kenapalah engkau kejut aku malam-malam buta ni? Besok aku kena bangun pagi tau! Kau tahu tak sekarang dah pukul berapa?"
 
Amir hanya diam berdiri di sebelahku.
 
"Sudahlah tu, mari balik."
 
Aku mulakan langkah kaki untuk keluar dari tempat itu. Amir mengikut dari belakang sambil membisu. Kami menyusuri lorong yang agak sempit dan gelap itu sekali lagi. Kumatikan lampu suluhku bila ternampak cahaya lampu di hujung lorong itu. Di situlah aku memberhentikan kereta Mitsubishi Evo berwarna hijau terang yang baru empat bulan aku beli.
 
Keretaku sudah tidak ada lagi di tepi jalan. Bagaimana boleh hilang, sedangkan semua pintu dan tingkap sudah kukunci.
 
"Eh Mir, mana kereta aku?" tanyaku, panik.
 
"Mungkin dia yang ambil."
 
"Siapa?"
 
Jawab Amir separuh berbisik, "Dia...", sambil menudingkan jari telunjuk ke arah pokok botak tadi.
 
"Eh Mir, kau jangan takut-takutkan akulah."
 

i.
 

Aku baca kisah yang aku tulis ini berulangkali. Merepeklah cerita ni, bisik hati kecilku. Tak logik langsung. Aku tutup buku notaku dan letakkan ia di atas meja.
 
Apa macam Jimi, boleh tak aku jual cerita ini?
 
Jimi tidak menjawab, dia terus saja tercegat di penjuru bilikku. Lantas kucapai Jimi di lehernya, mengangkatnya dan meletakkannya di ribaku. Aku genggam leher Jimi dengan genggaman A Minor tangan kananku. Tangan kiriku pula cepat memetik keenam-enam tali di badan Jimi.
 
(Apakah aku juga terperangkap di dalam Sindrom A Minor, seperti Art Fazil?)
 
Jimi meraungkan kord A Minor dari kotak bunyinya. Kord itu berlegar-legar di ruang udara bilikku selepas beberapa kali melantun dari tembok dan rak-rak buku yang ada. Aku memang suka memetik gitarku, Jimi, di dalam bilik ini. Bunyi yang keluar lunak dan bergema. Kadang kala aku turut bernyanyi sama; suaraku juga kedengaran lunak dan bergema.
 
Kord yang satu itu saja yang aku mainkan. Aku tiada inspirasi untuk meneruskan permainanku ini, lalu kuletakkan Jimi kembali di tempatnya di penjuru bilik. Selepas itu, aku bangun dari kerusi, capai tuala dan berjalan ke bilik mandi. Selepas mandi nanti, aku akan menyarungkan pakaian untuk keluar. Aku ada temujanji pagi ini.
 
Agaknya boleh tak aku jual cerita ini?
 

ii.
 

Aku sampai di kantin fakulti pada pukul sepuluh pagi. Suasana sudah mula sibuk dengan para pelajar dan kakitangan fakulti. Aku pergi ke meja biasaku, mujurlah meja itu masih kosong. Nasib baik juga Cikgu belum sampai. Boleh aku beli sedikit kuih-muih untuk mengisi perutku yang masih belum diisi sarapan lagi.
 
Ketika Cikgu Amin sampai sekitar sepuluh minit kemudian, aku sedang menghirup secangkir teh halia yang masih panas berwap.
 
"Dah lama sampai?" tanya Cikgu Amin sambil meletakkan beg komputer ribanya di sebelahnya.
 
"Saya pun baru sampai. Baru sempat hirup teh halia seteguk dua."
 
"Awak ni memang pandailah membuka selera saya pagi-pagi ni. Macam mana dengan cerita tu? Dah siap?"
 
Aku keluarkan buku notaku dari beg berjenama Verkital berwarna biru kegemaranku dan membuka mukasurat di mana aku telah menuliskan ceritaku semalam. "Ceritanya belum habis lagi."
 
"Tak mengapa," jawab Cikgu Amin sambil tersenyum.
 
Aku memerhatikan wajah dan reaksi Cikgu Amin ketika dia membaca cerita yang kutulis itu. Nampaknya dia begitu khusyuk sekali.
 
"Hmmm, boleh tahan ,Rosman. Ada unsur-unsur suspens dan misteri. Ceritanya masih setengah masak, tapi boleh diperbaiki."
 
"Ada beberapa persoalan yang timbul semasa saya baca karangan ini, Rosman," tambah Cikgu Amin. "Pertama, apakah hubungan Man dengan Amir? Adakah mereka teman rapat? Atau adik-beradik? Jiran barangkali? Atau mungkin kawan serumah?
 
"Kedua, apakah yang merisaukan Amir pada malam itu? Apakah ini semua merupakan suatu helah untuk mengejutkan Man pada tengah malam?
 
"Ketiga, siapakah 'dia' yang dimaksudkan oleh Amir? Orang? Toyol?
 
"Cerita ini memang mempunyai potensi untuk dikembangkan. Cuba usahakan. Saya harap Rosman masih ingat pesanan Allahyarham Pak Masuri."
 
Ya, aku masih ingat. Allahyarham Pak Masuri S. N. pernah berpesan di dalam sebuah bengkel penulisan yang aku sertai. Kata beliau, untuk jadi penulis, kita mesti berlatih menulis tiap-tiap hari. Tulislah mengenai apa saja. Kalau tak boleh tulis pun mesti cuba tulis. Barulah boleh jadi penulis yang berjaya. Inilah mutiara berharga yang masih aku simpan dari seorang Sasterawan Negara yang sudah pergi dijemput Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Kehilangannya pasti sukar diganti.
 
"Maaf Rosman, saya tak boleh duduk lama di sini. Kalau senang petang ini, datanglah ke pejabat saya jam lima petang."
 
"Insya-Allah, Cikgu."
 
"Dan jangan lupa habiskan cerita itu," tambah Cikgu Amin lagi. "Saya tak sabar nak tahu kisah selanjutnya."
 
Kami bersalaman. Cikgu Amin kemudian mencapai beg komputer ribanya dan bergegas pergi. Aku kembali duduk di meja kantin dan menghabiskan tiga teguk teh halia dan setengah keping epok-epok. Aku menikmati sisa-sia juadahku ini sambil memerhatikan keadaan di sekeliling. Kadangkala aku nampak wajah-wajah yang kukenal. Aku menguntumkan senyuman yang selalunya dibalas. Ada pelajar dan kakitangan fakulti ini yang aku kenali ketika aku bekerja sebagai pegawai teknikal di fakulti ini. Ketika bekerja di sini jugalah aku berkawan dengan Cikgu Amin, seorang guru bahasa. Kami menjadi rapat kerana berkongsi minat yang sama, iaitu bidang sastera dan penulisan.
 
 
 
....bersambung