Friday, April 20, 2007

Mempopularkan Muzik Halal

oleh Muhammad Haniff Hassan

ISU penggunaan muzik dalam berdakwah baru-baru ini hangat dibincangkan, walaupun ia bukan isu baru.

Isu itu telah sekian lama dibincangkan.

Menghukum muzik hari ini sebagai haram secara umum sahaja tidak memadai kerana hakikatnya naluri manusia secara semula jadi memerlukan hiburan jua.

Persoalan lebih penting adalah apakah alternatif bagi muzik popular hari ini?

Jika alternatif sedemikian wujud, bagaimana ia dapat dimasyarakatkan kepada manusia umumnya - merentas batas bangsa, geografi, agama dan budaya.

Merentas batas-batas itu bermaksud ia tidak hanya diterima umat Islam atau bangsa Melayu sahaja malah diterima bangsa lain sebagaimana populariti rentak dan konsep muzik seperti rap, rok dan blues.

NASYID SEBAGAI SATU ALTERNATIF

Ada yang berpendapat telah ada alternatifnya yakni muzik rentak nasyid yang dipopularkan kumpulan Raihan, Rabbani dan pelbagai kumpulan nasyid lain.

Namun walaupun nasyid popular di kalangan masyarakat Melayu/Islam, ia agak terhad kepada kelompok itu sahaja.

Masyarakat Cina tidak mendengar nasyid. Bahkan tiada nasyid dalam bahasa Cina dan India dan tidak banyak pula dalam bahasa Inggeris.

Satu aspek lagi adalah rentak nasyid hanyalah satu rentak dan konsep muzik. Ia tidak mungkin dapat memenuhi cita rasa semua manusia.

Ertinya, tidak mungkin semua manusia dapat menggemari nasyid sebagai bahan hiburannya kerana manusia secara semula jadi mempunyai kerencaman cita rasa dan selera.

Oleh itu, rentak nasyid hanya sesuai menjadi salah satu rentak alternatif tetapi tidak memadai untuk menjadi satu-satunya alternatif bagi muzik moden hari ini.

Menetapkan nasyid sebagai satu-satunya alternatif muzik yang boleh digunapakai bagi umat Islam hanya akan menjadikan hiburan Islam terus berada di pinggiran sahaja.

STRATEGI BARU

Satu strategi bagi mengemukakan alternatif muzik adalah dengan memanfaatkan lagu-lagu yang telah sedia ada di pasaran.

Ini dilakukan dengan memilih lagu-lagu yang mempunyai mesej yang baik dan secara terancang mempopularkan lagu-lagu jenis ini.

Selain itu, masyarakat juga dididik untuk cenderung dan meminati lagu-lagu yang mempunyai mesej yang baik.

Strategi ini didasari kepada kefahaman bahawa terdapat lagu yang mempunyai seni kata yang baik dan berirama yang menyentuh perasaan seperti lagu Wonderful World oleh Kennie G, Heal The World oleh Michael Jackson dan Perjalanan Hidup oleh Ramli Sarip.

Turut mendasari strategi ini ialah walaupun lagu-lagu berkenaan mungkin akan dipertikaikan sebahagian pihak akan keharusannya di sisi Islam, hakikatnya ia adalah satu isu yang dikhilafkan ulama.

Lagu-lagu ini, walaupun mungkin dikatakan sebagai 'syubahat' oleh sesetengah pihak, ia lebih baik daripada jika masyarakat umum mendengar lagu-lagu yang jelas haramnya (menjejas batin dan akal).

Ini sejajar dengan konsep membolehkan mudarat yang lebih ringan dan prinsip tadarruj (berperingkat) dalam dakwah.

Dengan melaksanakan strategi ini, pilihan bagi alternatif kepada muzik dan lagu yang merosakkan, menjadi lebih banyak dan sumbernya tidak terhad kepada kumpulan nasyid semata.

Ini mungkin memberi lompatan berganda (quantum leap) dalam usaha mengemukakan lagu-lagu alternatif dan mengelakkan gerakan dakwah daripada reinvent the wheel, atau membuat sesuatu yang telah sedia ada.

Namun untuk melaksanakan strategi ini, ia memerlukan semacam garis pandu yang meletakkan batasan dalam memilih lagu-lagu 'halal' supaya masyarakat tidak terpesong atau disalahgunakan.

PANDUAN MEMILIH LAGU HALAL

Dalam memilih pandangan ulama bagi menetapkan batas-batas minimum keharusan muzik, lagu dan nyanyian dalam Islam, dasar-dasar berikut dijadikan asas.

# Mengiktiraf bahawa ini adalah persoalan yang dikhilafkan ulama.

# Memilih pandangan ulama yang muktabar dari segi kemampuan ijtihadnya dan kekuatan tsiqah (kredibiliti) di kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah walaupun pandangan itu bukan pandangan yang dipegang majoriti ulama atau bukan pandangan yang popular.

# Mengambil kira sa saran utama projek ini ialah masyarakat awam secara umum tanpa kira agama dan bangsa.

# Membezakan antara persoalan mubah, wara' dan afdal.

# Asal hukum bagi segala perkara yang bukan berkaitan dengan ibadat khusus dan akidah adalah halal kecuali ada dalil yang mengharamkannya.

# Sebagaimana niat yang baik tidak menghalalkan cara, cara yang baik juga perlu diikuti dengan niat yang betul dan ikhlas.

# Hiburan adalah harus dalam Islam. Ini didasarkan pada hadis Ai syah yang mendengar nyanyian dua gadis di rumah Rasulullah saw; perbuatan para sahabat yang bernasyid semasa mengorek parit pertahanan Madinah dan perbuatan Rasulullah yang membawa Aisyah melihat tarian hamba Habsyi.

# Hiburan hendaklah dijadikan sebagai alat bukan matlamat. Hiburan adalah alat untuk mendidik, merehatkan diri, membina silaturahim dan lain-lain yang harus dan dianjurkan Islam.

Ini adalah kerana matlamat hidup manusia ialah untuk mengabdi kepada Ilahi saja dan bukan untuk mempertuhankan hiburan.

# Muzik, lagu dan nyanyian adalah harus dalam Islam, namun tertakluk juga kepada dasar-dasar hiburan yang dinyatakan di atas.

BATAS MINIMUM BOLEH DITETAPKAN

Berdasarkan perkara di atas, dicadangkan dasar dan batas minimum berikut bagi menentukan muzik dan lagu 'halal' bagi masyarakat awam.

# Hiburan tidak boleh mengandungi apa yang diharamkan Allah swt atau menjurus kepada yang haram seperti memuja wanita, mendedah aurat, menggalakkan pergaulan bebas, mengandungi kekata yang membawa kekufuran seperti memuja syaitan, mempropagandakan kepercayaan agama lain, memuja dadah dan arak, mengandungi khayalan yang tidak bermanfaat seperti khayalan cinta, menghina amalan Islam dan memfitnah orang.

# Hiburan dipersembahkan dengan menepati adab-adab yang telah ditetapkan Islam.

# Hiburan hendaklah tidak menyebabkan pengabaian sesuatu yang lebih penting berdasarkan prinsip penentuan keutamaan dalam Islam seperti berhibur hingga terlupa bersolat dan terlalu tenggelam mendengar muzik sehingga tidak membaca Al-Quran.

# Hiburan bukanlah alternatif kepada amalan ibadat khusus tetapi pendorong padanya.

# Hiburan hendaklah menjauhi daripada unsur menyerupai penganut agama lain atau golongan yang berakhlak rendah. Contohnya adalah berambut panjang.

Walaupun tiada dalil khusus melarang orang lelaki berambut panjang, oleh kerana ia telah menjadi simbol kepada budaya tertentu yang tidak disukai Islam, maka ia perlu ditinggalkan.

# Semua alat muzik adalah harus kecuali ia digunakan untuk sesuatu yang haram atau menjurus pada yang haram atau sebab-sebab sampingan lain yang diharamkan. Ini berdasarkan pada pandangan Ibn Hazm yang berpendapat bahawa dalil-dalil mengenai pengharaman alat-alat bertali dan tiupan adalah lemah.

# Tertakluk pada dasar-dasar hiburan, nyanyian oleh wanita adalah harus. Ini berdasarkan pada pendapat bahawa suara wanita bukan aurat.

# Penyanyi wanita hendaklah menjaga batas-batas hijab atau tidak berjoget atau berlenggang lenggok secara mengghairahkan.

# Hukum nyanyian dan lagu juga berkaitan dengan konteks ia disampaikan.

Lagu bertemakan cinta, jika dinyanyikan untuk memuja wanita dan berkhayal, membawa kepada haram tetapi jika ia dinyanyikan untuk isteri atau suami bagi mengeratkan lagi kasih sayang, maka ia dibenarkan.

Ini termasuk di bawah kaedah Al-Umur Bi Maqasidiha (hukum bagi sesuatu perkara berdasarkan niat dan tujuan).

# Begitu juga lagu yang bersifat abstrak atau kiasan, keharusannya bergantung pada bagaimana ia ditafsirkan. Sekiranya pentafsirannya menjurus pada haram maka ia menjadi haram dan sebaliknya.

KESIMPULAN

Apa yang dinyatakan bukanlah satu fatwa tetapi bukan juga satu perkara baru. Semuanya telah dihuraikan ulama besar sejak dulu lagi.

Adalah diakui pelaksanaan strategi ini akan mengundang kritikan dan kontroversi. Melaksanakannya sebenarnya menuntut keberanian dan kecekalan.

Mungkin dalam memulakannya kita akan tersilap. Namun kita harus berani menghadapi risiko atau langkah kita dalam bidang ini tidak akan ke mana.

Manusia yang melakukan kesilapan tidak tercela. Ia hanya tercela jika tidak mengakui dan kembali kepada kesilapannya.

Cara mudah untuk tidak melakukan kesilapan adalah dengan tidak melakukan apa-apa. Namun apa pula jawapan kita kepada masalah hiburan dan keperluan naluri manusia dalam hal ini?


Nota: Penulis ialah siswa program kedoktoran di Institut Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang. Makalah ini pandangan peribadinya semata.

0 comments: