Filem Gubra Menghina Melayu Dan Islam
Artikel ini tulisan Haji Razali Endun, tersiar di Harakah 16-30 September 2006.
Keempat-empat ahli panel dalam Forum ‘Filem Sebagai Ar-Risalah: Pandangan Terhadap Gubra, Layakkah Memenangi Anugerah Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke-19’ (FFM 19), di Universiti Malaya pada 1 September lalu sependapat bahawa Filem Gubra, arahan Jasmin Ahmad, menghina bangsa Melayu dan agama Islam.
Malah filem ini penuh dengan kelucahan serta mencemar budaya Melayu dan menghina agama Islam sebagai agama rasmi negara ini. Filem ini tidak relevan dengan budaya dan agama Islam yang dianuti oleh orang Melayu. Tidak ada falsafah dan ilmu sebagai natijah pemikiran dalam filem ini. Kosong. Tidak ada apa mesej positif yang dibawanya selain penuh dengan kelucahan dan penghinaan terhadap budaya Melayu dan agama Islam. Dan kesemua ahli panel mempersoalkan atas landasan apa filem ini dinobatkan sebagai filem terbaik dalam FFM 19?
Gubra adalah kesinambungan Sepet yang memaparkan krisis identiti. Identiti yang tidak menentu. Sarat dengan pemikiran kacau Jasmin sendiri. Ianya bagaikan suatu penyakit iaitu ‘sakit jiwa.’
Forum yang dianjurkan oleh Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya ini di pengerusikan oleh Hajah Rokiah Hashim. Ahli-ahli penalnya terdiri daripada Prof. Datuk Dr . Abdul Latif Abu Bakar, Prof. Madya Dr. Rahimin Affandi bin Rahim, Encik Akmal Abdullah dan saudara Faisal Tehrani.
Menurut Dr. Rahimin, filem ini sarat dengan unsur-unsur negatif dan kelucahan. Dailognya lucah, aksinya lucah, memaparkan sex bebas; bagaimana filem jenis ini boleh diiktiraf dan dinobatkan sebagai filem terbaik? Sangat memalukan, tekannya.
Sdra Akmal Abdullah, Penolong Pengarang Hiburan, Berita Harian menyorot dari sudut latar belakang Jasmin Ahmad. Beliau menyifatkan Jasmin hidup di dalam dua alam yang berlainan. Jasmin seorang pengeluar filem iklan, kemudian mencuba pula meneroka filem cereka, dan beliau terbawa-bawa unsur-unsur sensasi dalam filem iklan ke dalam filem cereka. Latar hidupnya juga banyak mempengaruhi pemikinan filem ini. Akibatnya terserlahlah kecelaruan dan kekacauan pemikiran beliau dalam filem Sepet dan Gubra.
Faisal Tehrani juga tidak mengerti dari sudut manakah filem ini diangkat oleh panel juri sebagai filem terbaik? Ada orang kata, shotnya baik, photographynya cantik, suntingannya kemas, lakonannya real, maka itulah kriteria yang mempengaruhi panel juri. Faisal kategorikan ini semua tergolong dalam ‘estatika bentuk.’
Menurut Faisal ‘estatika bentuk’ tidak boleh dijadikan hujah untuk menilai hasil seni, kerana ianya bersifat subjektif. Ianya berbeza-beza dari pandangan dan prespektif masing-masing. Penilaian hasil seni hendaklah dipusatkan kepada sudut ‘estatika makna’, iaitu idea, keilmuan, falsafah dan pemikiran yang ada dalam sesuatu hasil seni itu.
“Kita jangan keliru dalam menilai hasil seni,” katanya bersungguh-sungguh. Dalam penilaian hasil seni estatika makna memain peranan penting bagi menilai sesuatu karya itu. Islam datang dengan estatika makna iaitu keimanan dan tauhid. Tauhid dan keimanan itu bersifat tunggal. Ke mana pun arah tuju kita, sebagai seorang Islam kita tidak boleh lari daripada Tauhid dan keimanan.
Apa yang dikesalkan oleh Faisal, Pengarah filem ini ialah seorang Islam, dan sebagai seorang Islam dia terikat dengan konsep Islam. Dia sepatutnya memaparkan ajaran Islam yang betul, bukan menimbulkan kekeliruan di kalangan penonton, apa lagi penonton yang bukan Islam. Lainlah kalau dia bukan Islam, sudah tentu dia mempunyai prespektif yang berlainan.
Faisal khuwatir kemungkinan ada konspirasi yang tidak disedari sudah menyusup masuk dalam karya-karya seni kita dan dalam aspek ini, filem. Filem dan tv adalah saluran media yang sangat berpengaruh. Apa yang cuba dilakukan oleh anasir-anasir ini ialah menguggah keimanan dan kepercayaan umat Islam terhadap agamanya. Pelbagai cara dilakukan termasuklah menyalurkan fahaman dan pemikiran liberalisme dan pluralisme. Sehingga ada yang memperjuangkan bahawa hak beragama adalah hak individu, mereka bukan sahaja bebas menganut agama kepercayaan mereka, malah boleh menukar agama sesuka hati mereka bersandarkan kononnya, ‘kebebasan beragama’ seperti temaktub dalam Perlembagaan. Ini satu fenomena yang sangat merbahaya.
Ada yang menyalahkan juri yang tidak peka dengan budaya dan agama negara ini. Komposisi panel juri yang terdiri daripada 3 orang tempatan, seorang dari Thailand dan seorang lagi dari Indonesia , menguatkan tanggapan ini. Apa lagi Ketua Jurinya seorang yang beragama Hindu, yang sudah tentu kurang peka terhadap ajaran Islam.
Seorang penonton berpendapat bahawa juri tidak harus dipersalahkan dalam hal ini. Yang salah ialah sistem penjurian itu. Tidak ada sistem atau garis panduan yang jelas bagi menilai filem-filem ini. Kecaluran inilah yang membuatkan kekalutan dalam membuat penilaian. Sistem ini seharusnya ditukar, kalau tidak siapa pun yang menjadi juri akan terperangkap dalam sistem itu.
Ramai yang mempertikaikan bagaimana Lembaga Penapis Filem boleh meluluskan adegan-adegan yang mencemarkan budaya dan agama. Tidakkah mereka prihatin dan peka tentang hal-hal yang sensitif begini? Difahamkan, bukan semua ahli lembaga yang menonton dan menapis filem, sekadar cukup dua orang yang menontonnya maka sesebuah filem itu layak diluluskan. Tidak kurang pula yang meminta Ahli Lembaga Penapis Filem ini digantikan dengan orang-orang yang lebih berwibawa dan peka bukan sahaja dalam soal perfileman, tetapi juga dalam soal seni, budaya dan agama.
Artikel ini diambil dari blog Faisal Tehrani
Artikel berkaitan:




















