Dulu aku pernah menceburkan diri dalam dunia fotografi. Kamera SLR manual pemberian pakcikku, model Canon A-1 (buatan tahun 1978) telah kugunakan sepenuhnya semasa pengajianku di politeknik dulu. Namun, selepas aku meninggalkan dunia persekolahan, aku tidak lagi bergiat aktif. Maklumlah, dulu filem diberi percuma oleh pihak politeknik. Setiap minggu kami penuntut jurusan Film, Sound & Video diberi 2 rol filem slaid (2 x 36 exposures). Rol yang telah digunakan kemudian diberikan kepada Doris, MSO fakulti kami untuk dicuci, percuma juga. Namun masa itu sudah berlalu. Aku terasa peritnya sakuku bila aku terus mengasah kebolehanku dalam fotografi selepas meninggalkan politeknik. Ternyata fotografi adalah hobi yang sangat mahal. Dan aku pula bukan dari keluarga berada. Terpaksa aku ucapkan selamat tinggal kepada dunia fotografi, sehinggalah keadaan ekonomiku semakin mantap.
Dan kini, alhamdulillah keadaan ekonomiku telah mantap. Aku terasa ingin mengasah semula ilmu praktikal fotografiku yang sudah tumpul. Apakah aku masih boleh mengambil gambar-gambar bermutu seperti dulu?
Setelah sekian lama aku menggunakan kamera prosumer Canon Powershot G1 yang sudah agak usang dan out-dated, aku telah membeli kamera SLR digital model terkini (dan yang paling murah!), Canon EOS 400D (entry level D-SLR camera), pada bulan lepas. Termasuk juga beberapa aksesori. Inilah set-up fotografiku.....

Mula-mula aku memegang kamera ini, sungguh terasa kecil dan ringan. Rasa macam kamera mainan pula. Aku tidak berapa minat dengan rekabentuknya. Aku lebih suka rekabentuk kamera Nikon. Namun, bila dibandingkan mutu gambar yang diambil Canon dan Nikon, aku lebih suka mutu yang dihasilkan Canon. Malah sejak dulu lagi, aku telah menjadi peminat Canon. Hampir semua kameraku adalah dari buatan Canon. Maka sebab itulah aku membeli kamera Canon EOS 400D ini.
Jadi, berapa yang telah aku belanjakan kesemuanya?
Sekitar S$2500, termasuk GST.
Perit bila difikirkan wang sebanyak ini yang telah aku belanjakan, tetapi aku tidak perlu khuatir lagi selepas ini. Tiada lagi
hidden cost. Aku tak perlu belanjakan wang lagi untuk
beli dan develop filem. Aku boleh ambil gambar sebanyak yang aku suka, selagi kad CF 2GB-ku muat. Gambar yang aku tak suka, aku boleh
delete saja.
Yang paling penting sekali, aku tidak menyusahkan diriku bila membeli kamera ini. Aku membelinya tunai.
Bukan ansuran.
Jadi tiada hutang,
Tiada
interest,Tiada bunga,
Tiada riba',
Tiada dosa.
Urusan muamalat yang halalan toyyiban, insya-Allah.... :)
Sekarang aku perlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan kamera ini. Walaupun telah sebulan aku bermain-main dengannya, namun jiwaku masih belum lagi sebati dengannya.
I must try to make this camera an extension of my arms and my eyes. Insya-Allah, anda akan dapat melihat hasilnya tak berapa lama lagi.
ps. Kamera Canon A-1 pemberian Cik Ran masih kusimpan dengan baik. Tapi sayang sekali, bateri yang diperlukan untuk menghidupkan jentera mekanikal dan light-meter kamera sukar ditemui (bateri 4LR44, hanya dijual beberapa buah kedai kamera terkemuka saja). Kit lens 50mm f1.8 juga masih dalam keadaan baik lagi.