Monday, September 17, 2007

Reviu Muzik: 'Nyawa dan Cinta' (DEBU) & 'Dunia Baru' (MEL)

Beberapa hari yang lalu, aku telah pergi membeli beberapa buah CD. Di antaranya ialah album kumpulan Debu dari Indonesia yang diberi judul 'Nyawa dan Cinta', album ketiga kumpulan ini. Album pertama bertajuk 'Mabuk Cinta', yang kedua 'Makin Mabuk'. Apa sebenarnya yang mereka mabukkan?



Aku sebenarnya tidak pernah mendengar lagu-lagu dari kumpulan ini, tetapi 'cover' album ini menarik perhatianku.


Sebabnya ialah:


Pertama, album ini dilabelkan sebagai album muzik kerohanian - world music. Aku memang minat muzik sebegini. Lain dari yang lain.


Kedua, Debu yang berasal dari Indonesia ini hampir pada keseluruhannya dianggotai oleh bangsa kulit putih dan negro. Agak misterius dan enigmatik, bukan? Kalau hendak mengetahui lebih lanjut tentang kumpulan ini, singgahlah di lelaman mereka, http://www.musikdebu.com/.


Ketiga, reputasi kumpulan yang penuh enigma itu sendiri. Dengar khabar, kumpulan ini sangat popular di Indonesia.


Kufikirkan kumpulan ini adalah kumpulan nasyid yang mencampurkan irama Timur tengah dengan senikata sufi. Sangkaanku tidak begitu tepat. Ya, mereka memainkan lagu-lagu sufi. Ada rentak Timur Tengah dan pelbagai rentak world music. Namun senikata-senikatanya, bila digandingkan dengan lagu, masya-Allah, boleh membuat pendengar hanyut dan mabuk dalam zikir.


Kalau anda seorang peminat muzik kerohanian tetapi sudah bosan mendengar lagu-lagu nasyid mediocre dari kumpulan Singapura & Malaysia, cubalah Debu.


Sila lihat klip video mereka di bawah ini.








Klik di sini untuk video lebih besar dan video-video lain.





On the flipside, aku juga beli CD album Mel (vokalis Wings dalam album 'Orang Asing') yang bertajuk 'Dunia Baru'. Aku membelinya kerana: Pertama, aku dulu minat dengan suara Mel. Kedua, album ini menampilkan penulis lagu handalan Shanazron (lagu 'Warisan Wanita Terakhir', dialah yang tulis). Ketiga, dari tajuk-tajuk lagunya, ada kelainan... kesemuanya berunsur Islam. 'Menagih Kasih' (macam tajuk lagu Raihan/Zikr), 'Ulama Ikutan', 'Tuhan', 'Agungkan Tuhan', Keampunan', dan banyak lagi. Album Rock berciri Islam? Wow! Mesti dengar!

Tapi bila aku mainkan CDnya, harapanku yang tinggi melambung terhempas ke tanah. Suara Mel boleh tahan, lagu sedap.... tapi senikata tak boleh angkat! Senikatanya terlalu simplistik, menggunakan bahasa percakapan biasa, straight forward dan tiada unsur-unsur seni / estetika. Banyak senikata yang tak ikut rima dan bilangan sukukata melodi. Terlalu preachy, macam syarahan, tapi aku rasa syarahan lebih seronok didengar daripada album ini.

Kesudahannya:

Album ini adalah untuk die-hard fans saja. Sila ke lelaman Mel di http://www.mel.com.my/ dan dengar sampel lagu-lagunya sebelum membeli.

Bagiku, lebih baik beli CD album Ustaz Sofyan Yadi, 'Anta Nur', album lagu-lagu selawat dibawakan denga rentak rock. Album itu lebih memuaskan halwa telinga dan jiwa.

ps.
Bukan niatku untuk menghentam album Mel. Aku sokong perjuangannya untuk berdakwah. Niat yang suci, kita sokong, tapi cara perlaksanaannya, itulah yang dibicarakan di sini. Album beliau menampilkan lirik-lirik yang positif dan mudah dihayati. Tapi bagiku, terlalu mudah dan terlalu straight-forward. Mungkin target audiece dia ialah golongan Mat Rock, remaja dan kanak-kanak.

Mudah-mudahan Mel berjaya mencapai target audience-nya dan mesej di sebalik lagu-lagunya dapat diterima masyarakat. Tujuan yang baik, kita sama-sama sokong. Kita sama-sama doakan. Ameen.

(Aku pun dah tersokong dia dengan terbeli album dia. Insya-Allah, aku akan cuba ikhlaskan pembelianku ini.)

Friday, September 14, 2007

Begitulah Perasaan Pencinta

begitulah perasaan pencinta
bila berlandaskan iman dan taqwa
semurni cinta Rasulullah terhadap umatnya
walaupun jiwanya menderita
diludahi, direjambatu dan diluka
namun tetap disebut dalam setiap doanya
dipanjatkan syafaat buat mereka
biarpun yang dicintai tidak peduli
hanyut dalam gejala cinta dunia dan takut mati
hinggalah di saat dia hendak pergi mengadap Ilahi
di bibirnya masih terpantul kalimah sakti

"ummati, ummati, ummati."

Hantu Kambing

Wednesday, September 12, 2007

web Hamlau.com masih ada rupanya!

Masih ingatkah lelaman Hamlau.com yang agak popular suatu masa dulu? Lelaman itu pada mulanya mengetengahkan lagu-lagu M. Nasir/Kembara, kemudian diselitkan lagu-lagu Ebiet G. Ade - kedua-duanya adalah pencipta lagu kegemaranku. Kemudian lelaman ini 'hilang'.

Hari ini, aku temui semula web si Hamlau ni. Bersembunyi di Geocities rupanya. Sila klik link di atas untuk ke sana.

Monday, September 10, 2007

Syair Seorang Pejuang

kau hanya seorang penyair biasa
di tengah masyarakat yang di ambang binasa
namun dari selatan kau terima perutusan
berita kemunculan nabi akhir zaman

di tanah Aqabah kau berjanji setia
menjunjung tauhid dengan apa saja cara
lidah penamu menjadi panah berbisa
senjatamu yang paling utama

dengan syairmu, kau perjuangkan agama
dengan puisimu, kau buat Nabi gembira
demi cinta, kau rela berkorban apa saja
jiwa, harta, airmata, jasad dan nyawa

di Badar, di Uhud, kau ada bersama
membangkitkan semangat para perwira
namun di medan peperangan terakhir
dugaanmu yang paling getir
di tengah kekalutan
engkau laungkan,
"Kemenangan atau syahid!"

kausaksikan teman-temanmu gugur satu persatu
dalam pertempuran yang sungguh meruntun kalbu
tibalah masa untuk kau sambut panji-panji amanah
engkau gembira rela menjunjung titah

lalu kau bersyair, didengar semua
membangkitkan semangat para perwira
di depanmu musuh beratus ribu
tidak kau gentarkan lagi
tujuanmu satu
redha Tuhanmu:
kemenangan atau syahid!

"aku telah bersumpah, wahai diri
majulah ke medan juang
tetapi kenapa kulihat kau menolak syurgawi?
wahai diri, walaupun kau tidak tewas dibunuh,
kau tetap akan mati
masanya sudah tiba untuk kau mengecap impi
jika jejak sahabat-sahabatmu kau ikuti
jadilah engkau perwira sejati."


herman.mutiara
(10 september 2007, dikemaskini 23 november 2007)

Wednesday, September 05, 2007

Jelaga

(buat seorang sahabat)

kaukejar mimpi indahmu
biarpun di saat kau terjaga
masih berbungkus dalam selimut emosimu
mimpi indahmu pantas berlari
meninggalkanmu tercungkap-cungap sendiri
bermandian peluh dan airmata
biarpun lidahmu tidak putus-putus berzikir
kirana... kirana... kirana...
sedangkan matahari sudah meninggi
sang dhuha mula mengintai dari langsir jendelamu

kau masih lagi bermain-main
di pinggir tasik perasaan yang dalam
sedangkan kau masih belum lagi pandai berenang
masih belum dapat mengimbang
antara apungan roh, akal dan hati
aku bimbang engkau kepenatan
dan mati kelemasan
dalam tasik ciptaanmu sendiri

dhuha juga akan sirna
seperti syuruk, subuh, isyak
dan maghrib sebelumnya
bersama sisa mimpi semalam
maka bangunlah
kikis segala jelaga
agar jiwamu
dapat bersinar semula.