Wednesday, June 03, 2009

Everest

gunung itu tegak berdiri
ia diam menanti
sesiapa saja 
yang ingin mendaki
ke persadanya

untuk mendaki gunung tertinggi ini
perlu persiapan serba-serbi
peralatan lengkap, cukup biaya
dan kesihatan jasmani
tapi itu pun belumlah tentu
akan selamat sampai 
di puncak terbilang itu

Sidratul-Muntaha juga setia menanti
sesiapa saja yang ingin mendaki
namun ia jauh lebih tinggi
pendakiannya menembusi tujuh lapisan langit
dan lebih lagi
dengan hanya menunaikan solat fardhu
dalam sehari ada lima waktu
kamu boleh melepasi segala bendungan 
fizikal dan waktu
dan dapat berhubungan terus
dengan Tuhanmu Yang Satu
di Sidratul-Muntaha, tempat yang tinggi itu
tanpa perantaraan berhala-berhala 
dan orang-orang tertentu

adalah lebih mudah 
dan lebih indah
perjalanan mikraj kepada Allah
daripada mendaki 
ke puncak tertinggi bumi
mengikut jejak Edmund Hillary
tapi masih juga tidak dapat lepaskan diri
dari bendungan dan tarikan graviti
cinta dunia dan takut mati.


herman.mutiara
3 jun 2009

Perhimpunan Penulis Muda Nasional & masadepan sastera Singapura - suatu renungan

Sudah lebih seminggu Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2009 (PPMN '09) berlalu. Ramai teman-teman telah pun menulis catatan masing-masing mengenai perhimpunan ini di dalam blog masing-masing. Namun bagi saya, saya belum lagi tergerak untuk menulis. Hari ini, biar saya cuba untuk catatkan pengalaman saya pula.

Tema perhimpunan ialah "Perjuangan Penulis Muda: Arah Dan Cabaran". Berat bunyinya, kerana saya tak pasti sama ada saya dapat mengikut alur perbincangan ini. Namun, jangkaan saya meleset. Perjuangan penulis muda kedua-dua negara sama sebenarnya. Perjuangan dengan berpandukan dua perkara, yang jika kita ikuti, nescaya kita takkan sesat untuk selamanya. Al-Qur'an dan As-Sunnah. Beruntung sungguh penulis Malaysia kerana mempunyai kumpulan dan persatuan di mana mereka boleh bernaung yang sefikrah dengan perjuangan mereka.

Salah satu sesi pembentangan makalah.

Perhimpunan ini berat dan sarat. Berat dengan kertas-kertas kerja, sarat dengan ilmu dan falsafah. Saya rasa kecil di tengah-tengah lautan para ilmuwan di dalam dewan di Puteri Resort, Ayer Keroh, Melaka ini. Saya hanyalah seorang insan kecil, pendidikan pun tak tinggi. Bidang pekerjaan saya bukanlah penulisan, pendidikan, undang-undang, bahasa, budaya atau media, seperti ramai peserta lain. Saya hanya seorang ahli bomba. Seorang ahli bomba yang mempunyai cita-cita untuk jadi penulis. Pelik tapi benar. Benar tapi pelik. Di tempat kerja, ramai orang juga yang bertanya, kenapa saya, seorang bekas penuntut peringkat diploma dalam jurusan perfileman dan media, juga pernah mengambil matapelajaran Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pertama di sekolah, mahu menjadi ahli Pasukan Pertahanan Awam Singapura? Saya tidak ada jawapan untuk mereka. Tapi untuk anda, jawapan saya yang berunsur falsafah ialah ini: Saya ingin menyelamatkan manusia dari API... termasuk jenis api yang bahan bakarnya ialah manusia dan batu.

Saya tetap berasa bersemangat dan gembira berada di perhimpunan kerana teman-teman di Malaysia ternyata ramah-tamah belaka. Walaupun adakalanya tidak bersependapat (yakni: 'Ali Atan & gang'), namun kesefahaman di antara mereka sangat tinggi. Mereka masih juga bertegur sapa dan bermesra di luar sesi perbincangan. Taklah terasa berat sangat kepala ini menghadam setiap isi perbincangan yang datang bertali arus. Kepada teman-teman Malaysia, saya sokong perjuangan anda (yakni: PPSMI).

Mudah-mudahan saya dapat mengambil semangat dari pertemuan itu untuk menggerakkan / meluncurkan terus perjuangan penulis muda di sini. Di sini, penulis muda dipandang kecil oleh banyak pihak. Seorang penulis mapan pula sering menyindir kami (yakni: ARUSS) dalam 'forum'nya (dia seorang saja yang berforum dalam forum itu selepas penulis-penulis ikan bilis seperti kami dihalau), 'no karya, no talk' katanya. Sememangnya karya-karya kami belum lagi diterbitkan dalam bentuk buku (kecuali satu, lebih 10 tahun yang lalu di bawah nama 'Kelab Coretan Remaja'). Bila kami nak terbitkan karya, tiada publishing house yang nak terbitkan. Namun, alhamdulillah, kami sedang berusaha untuk terbitkan karya kami sendiri, dengan bantuan teman-teman dari Malaysia. Nantikanlah kemunculannya tak lama lagi... dan karya-karya susulan selepas ini, insya-Allah. 

Cabaran utama kami di Singapura ialah bagaimana untuk menghidupkan karya-karya Islami di negara kami yang halatujunya ditentukan oleh golongan penulis sekular yang makan wang tajaan syarikat arak, dan penulis liberal yang mengejar sensasi dengan karya-karya pseudo-Islami mereka. (Saya pernah dituduh riak oleh seorang penyair liberal ini kerana menulis mengenai pengalaman umrah saya yang pertama dalam blog saya pada tahun 2000. dia kemudian beritahu saya bahawa dia dah naik haji 2 kali tapi dia tak pernah pun tunjuk 'riak' macam saya.) Ya, di Singapura yang kecil ini, macam-macam ada.

Boleh saya katakan bahawa kesedaran agama di kalangan penulis-penulis muda Singapura adalah tinggi. Ramai dari golongan aliran pendidikan madrasah, ramai juga dari golongan aliran pendidikan sekular tapi turut mendalami ilmu-ilmu agama yang tidak pernah dibelakangkan. Kesedaran ini akan mewarnai masadepan dan halatuju karya-karya sastera Singapura di masa hadapan. 

Sastera Singapura sedang nazak? Memang nazak. Sebaik-baiknya, apa yang boleh kita buat ialah kita mentalkinnya supaya ia dapat mengucap syahadah dan mati dalam iman, seperti yang dicadangkan oleh Khairool Haque, seorang penulis muda, di dalam sebuah puisinya (yang belum diterbitkan... hmmm, 'no karya, no talk'). Ini adalah lebih baik dari mati dengan botol 'Tiger' atau 'Guinness Stout' di dalam tangan atau bau arak di dalam nafas.



Peserta-peserta dari Singapura (gambar diambil dari blog SM Zakir)


Di malam persembahan santai tepi kolam


Bergambar bersama Dr Irwan, Ode, Nimoiz Ty, Salman Sulaiman, Hasmora (tak ikut urutan) dan ahli-ahli esastera.com yang hadir di perhimpunan.