Hafeezul Islam
sebuah cerpen tulisan Nor Herman Maryuti @ MUTIARA
Sejak beberapa hari ini, aku perhatikan dia sering berada di masjid. Setiap kali aku datang untuk menunaikan solat berjemaah, aku dapati dia sudah pun berada di saf pertama. Selepas solat, aku perhatikan dia tidak berganjak dari tempat solatnya, penuh khusyuk di dalam wirid dan munajat yang panjang. Selepas berwirid dan bermunajat, dia akan duduk di satu sudut masjid. Tidak pernah aku nampak dia keluar dari perkarangan masjid. Ada kalanya, aku lihat dia menolong noja Haji Rawi membersihkan persekitaran masjid. Ada kalanya pula, aku nampak dia membersihkan dewan solat dengan alat pembersih vakum.
Pada suatu hari, aku bersama beberapa orang teman telah membuat rancangan untuk beriktikaf di masjid. Selepas membuat persiapan, aku meninggalkan rumah untuk ke masjid. Bila aku tiba di masjid sekitar jam sepuluh pagi, aku dapati Raihan dan Abang Nasir sudah pun sampai. Seperti kebiasaan, aku masuk ke dewan solat dan menunaikan solat sunnat menghormati masjid sebanyak dua rakaat.
Selepas memberi salam, hujung mataku ternampak seorang pemuda berpakaian kurta dan berkopiah keluar dari pejabat masjid dengan sebuah beg plastik yang penuh berisi sampah. Abang Nasir kemudian pergi menegurnya; dengan spontan pemuda berkulit hitam manis itu menguntumkan senyuman. Aku pergi ke arah Raihan. Raihan, pemuda berkulit hitam manis yang mudah tersenyum dan berdarah kacukan Bangladesh, India dan Melayu, sedang duduk dekat dengan rak-rak Al-Qur'an sambil membaca sebuah kitab hadis.
"Kau kenal dia?" tanyaku kepada Raihan.
"Namanya Hafeezul Islam," jawabnya.
"Sudah seminggu aku perasan dia selalu ada di masjid ini."
"Bukan kau seorang saja yang perasan. Ramai ahli jemaah lain pun perasan. Sebenarnya sudah dua minggu dia di masjid ini."
Menerusi perbualanku dengan Raihan, barulah aku kenal siapa pemuda misteri itu. Hafeezul Islam berasal dari Bangladesh. Dia datang dari keluarga susah. Untuk menyara keluarganya dan kerana kurangnya peluang pekerjaan di negara sendiri, dia mengambil keputusan untuk datang ke Singapura untuk mencuba nasibnya. Menerusi sebuah sindiket, dia telah berjaya menyeludup masuk ke negara ini tanpa sebarang dokumen perjalanan. Malangnya, setibanya di sini, dia telah ditipu oleh wakil sindiket tersebut yang telah berjanji untuk memberikannya pekerjaan. Kini dia terkandas di negara ini tanpa wang dan pekerjaan.
Noja masjid, Haji Rawi adalah orang pertama yang menyapa Hafeez. Oleh kerana Haji Rawi tidak berapa fasih berbahasa Inggeris, dia meminta Raihan untuk menjadi penterjemah kerana Raihan fasih bahasa Bangladesh yang dipelajari dari ayahnya, seorang peniaga asal Bangladesh.
Lambat-laun, kisah Hafeez diketahui oleh ahli jemaah dan ahli jawatankuasa masjid. Setiap hari Hafeez akan membantu Haji Rawi membersihkan masjid. Kerana kasihan, jawatankuasa masjid telah memberinya sedikit wang upah kerana kerja-kerja yang dilakukannya dan membenarkannya tidur di dalam masjid pada waktu malam.
Tidak beberapa lama kemudian, teman-temanku yang lain tiba di masjid. Abang Nasir telah menjemput Hafeez untuk duduk bersama kami dalam majlis ta'alim. Di dalam majlis ta'alim ini, kami akan membaca sebuah kitab hadis secara bergilir-gilir. Kami sengaja memilih buku berbahasa Inggeris dengan harapan Hafeez juga dapat memahami dan menghayati isi kandungannya. Lagipun, Raihan ada di sebelahnya untuk bertindak sebagai penterjemah seandainya dia kurang faham.
Dua jam kemudian, majlis ta'alim kami berakhir. Kami pun bersiap-siap untuk menunaikan solat Zuhur. Ada di antara kami yang berzikir, ada yang mengaji Al-Qur'an. Aku pergi ke perkarangan masjid untuk bersembang-sembang dengan ahli jemaah masjid yang lain. Baru saja aku hendak memakai selipar, terdengar suara memanggil aku.
"Osama!!!"
Aku kenal suara itu. Suara Nana Ismail, pegawai keselamatan di Wisma Permai yang letaknya bersebelahan dengan masjid. Biarpun sudah lanjut usia, pakcik berbangsa India ini suka bergurau dan selalu memanggil aku 'Osama' kerana janggutku yang lebat serta serban yang sering menghiasi kepalaku pada hari Jumaat.
"Apa khabar, Nana Mail?"
"Macam gitu juga."
"Osama, awak ada nampak itu Bangla?" Nana Ismail menunjuk ke arah Hafeez. "Banyak kasihan."
Masjid semakin dipenuhi jemaah. Tidak berapa kemudian, azan Zuhur berkumandang.
*****
Setengah jam selepas tamat solat berjemaah, aku dan seorang lagi teman telah diamanahkan pergi ke kedai makanan yang berdekatan untuk membeli juadah tengah hari untuk kami semua. Sepulangnya kami ke masjid, aku dapati Abang Nasir telah pun menjerang air untuk dibuat teh. Kami pun meletakkan makanan yang baru dibeli itu di dalam dua buah dulang.
Pada waktu itu, dewan solat sudah hampir kosong. Di satu sudut, kulihat Hafeezul Islam sedang merenung ke luar masjid, termenung. Di tangannya masih terpegang Kitab Suci Al-Qur'an yang dibacanya tadi. Entah apa yang difikirnya. Keadaannya membuat aku simpati padanya.
"Osman?" Abang Nasir memanggil aku.
"Ya, Bang Nasir?"
"Pergi jemput Hafeez makan bersama-sama kita."
Aku pun berjalan ke arah Hafeez. Hafeez masih tidak sedar akan kehadiranku.
"Baiyya?""Yes?""Baiyya, come join us for lunch."Hafeez teragak-agak untuk menerima pelawaanku. Mungkin dia malu menerima belas ihsan orang sejak dua minggu dia menumpang di masjid ini. Namun begitu, akhirnya dengan nada yang lemah, dia menjawab,
"OK..."*****
Perbincangan yang berlangsung di bilik mesyuarat masjid kini sedang memuzakarahkan agenda 'Lain-Lain Perkara (Jika Ada)'.
"Kita tak boleh biarkan Hafeez terus menumpang di masjid ini," kata Haji Akbar. "Kalau pihak imigresen dapat tahu kita simpan pendatang haram di masjid kita, tentu susah kita."
"Habis, takkanlah kita nak halau dia? Tak sampai hati rasanya," kata Haji Rawi. "Di zaman Nabi, masjid dijadikan tempat berteduh untuk golongan fakir miskin dan musafir."
"Saya bukannya apa, Syeikh. Niat kita di sini semuanya sama," tambah Haji Akbar. "Kita semua nak bantu Hafeez menyelesaikan masalahnya. Kalau bukan kita, siapa lagi? Tapi walaupun niat kita baik, kita perlu juga patuhi undang-undang negara."
"Betul kata Haji Akbar. Kita semua nak bantu dia," kata Tuan Haji Noh, pengerusi jawatankuasa masjid. "Saya perhatikan Hafeez itu baik budaknya. Tak pernah sekali pun dia timbulkan masalah atau buat kacau dalam masjid. Anggota jemaah masjid ini pun dah mesra dengan dia, terutama jemaah tabligh masjid kita. Saya dah minta Nasir dari jemaah tabligh untuk tengok-tengokkan dia, kerana Nasir kenal dan rapat dengan masyarakat rakyat Bangladesh yang selalu datang ke masjid ini.
"Lagipun, Hafeez pun tak duduk diam saja. Tangan dia selalu ringan untuk menolong apa-apa yang patut. Pada waktu malam, dia jadi
security guard untuk masjid kita."
"Betul juga kata Tuan Haji," kata Haji Rawi. "Dua tiga orang anggota jemaah ada beritahu saya, beberapa malam yang lepas, Hafeez telah berjaya mematahkan percubaan beberapa orang anak muda yang mahu mencuri wang dari tabung derma."
"Apa kata kita adakan pungutan derma untuk Hafeez?" kata Haji Salim yang sejak tadi tidak bersuara. "Dengan wang derma itu, kita boleh hantar dia pulang ke negara dia."
"Tapi macam mana kita nak hantar dia pulang?" tanya Haji Akbar. "Dia tak ada passport atau sebarang dokumen perjalanan."
"Beginilah," tambah Tuan Haji Noh, "Saya rasa jalan terbaik untuk kita bantu Hafeez ialah dengan menyerahkan dia kepada pihak polis."
Beberapa ahli jawatankuasa cuba mencelah tetapi Tuan Haji Noh mengangkat tangan, memberi isyarat supaya diam.
"Dengar dulu. Saya bukan nak berbuat aniaya kepada Hafeez. Sememangnya pihak polis lebih berpengalaman dalam menangani masalah pesalah imigresen ini. Saya sendiri pernah melawati tempat tahanan pesalah imigresen. Di bawah tahanan pihak polis, mereka dijaga dengan baik. Tempat tidur dan makan minum cukup disediakan sementara mereka menunggu untuk dihantar pulang ke negara asal mereka. Pihak pemerintah pula akan menguruskan penerbangan pesawat untuk menghantar mereka pulang."
"Tunggu dulu, Tuan Haji," tambah Haji Salim. "Kalau Hafeez diserahkan kepada pihak polis, semua wang yang dikumpulkannya yang merupakan sumbangan derma masyarakat Islam kita juga akan dirampas. Saya tahu satu cara lagi."
"Cara apa?"
*****
Selepas solat Asar, aku mangambil kesempatan untuk bertanyakan sesuatu kepada Abang Nasir. Ada perkara yang ingin aku dapatkan penjelasan daripada Abang Nasir yang luas pengalamannya dan mendalam ilmunya dalam bidang agama.
"Ada apa, Osman?"
"Saya sebenarnya nak tanya Bang Nasir mengenai zakat."
"Apa dia?"
"Setahu saya, salah satu golongan asnaf yang berhak menerima zakat ialah musafir yang terkandas dalam perjalanan."
"Ya, betul."
"Saya sebenarnya nak bayar zakat harta. Boleh tak saya berikan wang zakat itu kepada Hafeez?"
Menurut Abang Nasir, tiada salahnya aku berikan wang zakat itu kepada Hafeez kerana dia boleh digolongkan dalam golongan musafir yang dimaksudkan. Malah dia juga boleh digolongkan dalam golongan fakir miskin kerana dia tidak mempunyai sebarang harta benda ketika itu. Mendengar penjelasan ini, aku bulatkan tekadku untuk menolong Hafeez.
*****
Aku baru selesai menunaikan solat sunnat rawatib apabila Hafeez menyapaku.
"Assalamu'alaikum,
Brother."
"Wa alaikumussalam," jawabku. "
Yes Brother, can I help you?"
"Brother, remember you give me zakat money? I give money to Haji Salim. He promise to get me passport."Aku terperanjat mendengar penjelasan Hafeez. Dia menuding ke arah Haji Salim, seorang ahli jemaah masjid yang dikenali ramai kerana untaian tasbih yang tidak pernah lepas dari tangannya.
"Until now, no passport. I ask him for money back, he don't give.""Don't worry. I will talk to him," kataku.
Aku pun berjalan ke arah arah Haji Salim dan memberi salam.
"Wa alaikumussalam. Eh Osman, apa khabar, Sheikh?"
"Alhamdulillah, khabar baik. Sheikh, Ana dengar Anta ada ambil duit Hafeez..."
"Ambil duit siapa? Budak Bangla tu?! Dah bagus tu aku nak tolong dia dapatkan passport Malaysia!!" Tiba-tiba saja Haji Salim meninggikan suara. "Apa lagi yang dia nak?!!"
"Haji, dia nak duit dia balik..."
"Mana aku ada duit dia?!! Aku dah bagi duit tu kat
contact aku kat JB. Diaorang mintak dua ribu ringgit untuk satu passport. Bangla tu cuma kasi aku empat ratus dolar. Mana cukup?!!"
"Tak apalah, Haji. Dia tak jadi nak beli passport tu. Tolonglah kasi balik duit dia."
"Aku tak ada duit dia lah!!" Suara Haji Salim semakin meninggi. "Sudahlah, aku tak tahu!!!"
Suasana kecoh ini menarik perhatian para jemaah yang masih berada di dalam dewan solat masjid. Untuk mengelakkan suasana yang lebih buruk lagi, aku tinggalkan Haji Salim dan kembali semula ke tempat Hafeez.
"Sorry Brother, I cannot help you."Hafeez terdiam mendengar penyataanku itu lalu tertunduk.
Suasana sayu buat seketika sehinggalah pak muazzin melaungkan azan, menandakan sudah masuk waktu solat Isyak. Lantas aku meninggalkan Hafeez untuk ke tempat mengambil wudhuk untuk memperbaharui wudhukku.
Selepas solat Isyak, aku disapa oleh Abang Nasir dan Nana Mail.
"Kenapa kecoh-kecoh dalam masjid tadi, Osman?" tanya Abang Nasir.
Aku pun menceritakan apa yang telah terjadi. Dari mula sampai akhir.
"Tuan Haji Noh ada beritahu Abang, dalam mesyuarat lepas Haji Salim kata ada satu lagi cara untuk bantu Hafeez, tapi dia tak sebutkan cara apa itu. Rupa-rupanya ini caranya," kata Abang Nasir sambil menggelengkan kepalanya.
"Itu Haji Salim, tak boleh percaya," kata Nana Ismail, "Nampak saja macam orang baik, tapi ini hari
first-time Nana nampak dia pekik-pekik dalam masjid."
"Sudahlah tu, Osman," tambah Abang Nasir, "Biarkan saja. Duit tu bukan duit engkau lagi. Engkau sudah bayar zakat harta engkau kepada asnaf yang berhak. Ke mana duit tu pergi selepas itu bukan urusan kau lagi."
"Tapi sampai hati Haji Salim ambil duit Hafeez macam itu."
"Biarkanlah. Doa orang yang teraniaya itu makbul, tiada hijab di antaranya dengan Allah," kata Abang Nasir. "Suatu hari dia pasti akan terima balasannya."
Sejak hari itu, aku jarang melihat Hafeezul Islam di masjid. Begitu juga dengan Haji Salim. Aku dengar khabar dari beberapa orang teman, Haji Salim sekarang pergi bersolat di masjid lain. Beberapa minggu kemudian, aku tidak nampak lagi kelibat Hafeez. Ke mana perginya, aku tak tahu. Aku cuba bertanya Abang Nasir dan Raihan, tetapi mereka juga tidak tahu. Mudah-mudahan Hafeez temui apa yang dia cari.
Beberapa bulan selepas kejadian itu, ketika membelek-belek suratkhabar harian berbahasa Melayu, aku ternampak gambar Haji Salim di salah satu mukasuratnya.
'PENIAGA DIJEL KERANA MENIPU'Aku baca perenggan seterusnya...
'Seorang peniaga, Abdul Salim Bin Musannif, semalam didakwa di mahkamah atas tuduhan menipu dan pecah amanah...'TAMAT